21 May, 2008

Melayu - Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah

Kecut takut kerana benar,

Janji simpan di perut

Selalu pecah di mulut,

Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah mua’alaf bertakrif Melayu


Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan

Melorongkan jalur sejarah zaman

Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya


Kias kata bidal pusaka

Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak

Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai

Sawah sejalur tinggal sejengkal

tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga


Tangan masih memegang tali

Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali


Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti

Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali

Silaturrahim hati yang murni

Maaf diungkap senantiasa bersahut

Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan

Segala yang ada sanggup diberikan

Sehingga tercipta sebuah kiasan:


“Dagang lalu nasi ditanakkan

Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan

Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

No comments: